Tuesday, July 18, 2017

JKSNS TERIMA PENGIKTIRAFAN 5 BINTANG ANUGERAH KHAS KESELAMATAN PERLINDUNGAN TAHUN 2016


17 Julai 2017: Majlis pengiktirafan kepada jabatan-jabatan yang berjaya mencapai prestasi sistem pengurusan keselamatan perlindungan cemerlang bagi tahun 2016 diadakan hari ini di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Majlis penyampaian anugerah tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Ali bin Hamsa, Ketua Setiausaha Negara yang menyaksikan 45 jabatan/agensi kerajaan di peringkat persekutuan/negeri dan badan berkanun seluruh negara menerima pengiktirafan cemerlang 5 bintang.

Turut hadir adalah Yang Berbahagia Dato' Sri Zainal Rahim bin Seman (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam), Yang Berbahagia Tan Sri Othman bin Haji Mahmood (Timbalan Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri) dan Yang Berbahagia CP Dato' Zamri bin Yahya (Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan, Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri).


Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan (JKSNS) adalah antara jabatan di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang diiktiraf cemerlang dalam majlis anugerah tersebut. Ketua Pendaftar JKSNS, Puan Ruzita binti Ramli telah hadir bagi mewakili Yang Amat Arif Ketua Hakim Syarie Negeri Sembilan untuk menerima anugerah tersebut.

Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan Tahun 2016 dilaksanakan buat kali ketiga sejak diperkenalkan pada tahun 2013 oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (KPKK) iaitu agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri seperti mana yang diumumkan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Ketua Setiausaha Negara semasa Konvensyen Keselamatan Perlindungan Peringkat Kebangsaan Tahun 2012.

Program ini merupakan hasil inisiatif nilai tambah (value added) daripada inspektorat keselamatan yang dilaksanakan terhadap kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan bagi memastikan sistem pengurusan keselamatan perlindungan berada pada tahap yang terbaik.

Justeru itu, anugerah khas yang dilaksanakan secara berterusan ini bertujuan bagi memberi pengiktirafan ke atas tadbir urus keselamatan perlindungan yang terbaik di peringkat kementerian, jabatan, agensi kerajaan dan pada masa yang sama menggalakkan pembudayaan persekitaran sistem pengurusan keselamatan perlindungan yang berkualiti, efektif dan mapan.

Ditulis oleh: Mohd Fauzi Mohd Sabri
Foto oleh: Mohd Fauzi Mohd Sabri




Share:

0 comments:

Post a Comment

JUMLAH PENGUNJUNG