Friday, July 21, 2017

MAJLIS JALINAN KASIH LEBARAN AIDILFITRI 2017


20 Julai 2017: Suasana lebaran masih lagi dirasai dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan (JKSNS) tidak ketinggalan untuk turut mengadakan Majlis Jalinan Kasih Lebaran Aidilfitri 2017 di perkarangan Kompleks Kehakiman Syariah Negeri Sembilan di Bandar Sri Sendayan.


Majlis yang bermula pada pukul 11 pagi itu secara tradisinya dimulai dengan sesi bergambar kenang-kenangan warga JKSNS bersama-sama Ketua Hakim Syarie Negeri Sembilan, Yang Amat Arif Dato' Haji Mohd Shukor bin Sabudin dan Hakim-hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Yang Arif Tuan Abu Zaky bin Mohamad dan Yang Arif Tuan Abd Razak bin Mat Nayan. Turut serta adalah Ketua Pendaftar, Puan Ruzita binti Ramli dan Hakim-hakim Mahkamah Rendah Syariah Daerah-daerah.


Kemeriahan sambutan pada tahun ini lebih dirasai apabila Menteri Besar Negeri Sembilan, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan sudi melapangkan waktu dengan hadir dan beramah mesra bersama warga kerja JKSNS dan para tetamu.

Pelbagai juadah istimewa dihidangkan kepada para tetamu antaranya ialah, nasi arab, mi kari, lemang, rendang, nasi impit, kuetiaw goreng dan sate. Turut disajikan ialah roti john, pepes, otak-otak dan pelbagai variasi kek serta buah-buahan segar.


Juga hadir bagi memeriahkan lagi majlis ini adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Yang Berhormat Dato' Seri Haji Mat Ali bin Hassan, Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Sembilan, Yang Berhormat Dato' Dr. Awaludin bin Said, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Yang Berhormat Sohibus Samahah Dato' Haji Mohd Yusof bin Haji Ahmad dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Yang Berhormat Dato' Iskandar Ali bin Dewa serta ketua-ketua jabatan/agensi di peringkat persekutuan dan negeri yang lain.


Turut serta adalah Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Cawangan Negeri Sembilan, Yang Berbahagia Dato' Hanif bin Hassan dan para peguam syarie yang beramal di negeri ini. Selain itu, tidak dilupakan ialah para nazir dan imam-imam masjid berhampiran iaitu Masjid Kariah Sendayan, Kampung Gadong dan Surau Taman Mantau Indah.


Yang Amat Arif Dato' Ketua Hakim Syarie Negeri Sembilan yang juga Penaung KEJASA menzahirkan ucapan penghargaan kepada seluruh ahli KEJASA yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung bagi melancarkan acara ini. Semoga semangat kerjasama yang erat antara warga JKSNS ini dapat dikekalkan sampai bila-bila.

Sementara itu, Yang Di-Pertua KEJASA, Tuan Khairil Hafiz bin Nazari turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh warga JKSNS yang juga merupakan ahli KEJASA atas segala sumbangan tenaga dan buah fikiran dalam menjayakan majlis ini.

"Terima kasih kepada semua ahli KEJASA yang telah membantu menjayakan Majlis Jalinan Kasih Lebaran Aidilfitiri 2017. Kerjasama dan komitmen YA/Tuan/Puan adalah amat dihargai. Semoga ukhuwwah kita terus erat dan kekal." Ujar beliau.

Ditulis oleh: Mohd Fauzi Mohd Sabri
Gambar oleh: Azri Mohd Hamdan, Mohd Fauzi Mohd Sabri, Muhammad Hanif Ali dan Zaid Zulkiflie


Lagi Gambar di FB JKSNS dan FB KEJASA
Share:

0 comments:

Post a Comment

JUMLAH PENGUNJUNG