Thursday, July 27, 2017

SUKAN MAHKAMAH SYARIAH: MELAKA TUAN RUMAH


PUTRAJAYA 18 JULAI: Melaka dipilih menjadi tuan rumah bagi kejohanan Sukan Mahkamah Syariah Seluruh Malaysia Edisi Keempat (SMS4) yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 10 Ogos ini di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Kejohanan dwitahunan yang bakal disertai lebih 1,300 atlet itu merupakan anjuran Persatuan Pegawai Syariah Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) serta Jabatan Kehakiman Syariah negeri dan Mahkamah Syariah negeri.

Ketua Pengarah JKSM yang juga merupakan Ketua Hakim Mahkamah Syarie, Tan Sri Dr. Ibrahim Lembut berkata, buat julung-julung kalinya kejohanan kali ini bakal melibatkan penyertaan semua negeri dan mempertandingkan sebanyak 17 acara sukan.

"Untuk kejohanan kali ini buat pertama kali pasukan dari Sarawak akan memeriahkan pertandingan ini. Sebanyak 640 pingat iaitu 160 pingat emas, 160 pingat perak dan 320 pingat gangsa bakal menjadi rebutan peserta.

"Lebih menarik, pertandingan ini merupakan satu-satunya kejohanan sukan yang patuh syariah terutamanya dari segi berpakaian dan pergaulan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ibrahim berkata, perasmian kejohanan tersebut akan dibuat oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron manakala majlis penutupan pula bakal disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Naim Abu Bakar.

Sumber berita: Utusan Malaysia
Share:

0 comments:

Post a Comment

JUMLAH PENGUNJUNG