SUKAN MAHKAMAH SYARIAH SELURUH MALAYSIA KALI KE-4 (SMS4)

Selamat Berjuang Para Atlet Negeri Sembilan Yang Terhandal #MusuhnyaHabisBinasa #SosahHabihh #SukanMengeratkanSilaturrahim

SELAMAT BERJUANG

Para atlet Negeri Sembilan yang terhandal. Pastikan kejuaraan milik kita. #LongtungSampaiTumbang

JKSNS TERIMA 5 BINTANG ANUGERAH KHAS KESELAMATAN PERLINDUNGAN

Majlis pengiktirafan kepada jabatan-jabatan yang berjaya mencapai prestasi sistem pengurusan keselamatan perlindungan cemerlang bagi tahun 2016.

MAJLIS JALINAN KASIH LEBARAN AIDILFITRI 2017

Terima kasih kepada semua ahli KEJASA yang telah membantu menjayakan Majlis Jalinan Kasih Lebaran Aidilfitiri 2017.

NEGARAKU SEHATI SEJIWA

'Negaraku Sehati Sejiwa’ dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan 2017.

Thursday, August 17, 2017

PENCAPAIAN KONTINJEN JKSNS DI SMS4


10-13 Ogos: Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan (JKSNS) telah menyertai Sukan Mahkamah Syariah Seluruh Malaysia Kali Ke-4 (SMS4) pada 10 hingga 13 Ogos 2017 di Universiti Teknikal Malaysia, Melaka.

Penyertaan SMS4 ini melibatkan seramai 87 orang iaitu 72 orang pegawai dan kakitangan dari Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan dan 15 dari Bahagian Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan yang dinaungi oleh Ketua Hakim Syarie Negeri Sembilan, Yang Amat Arif Dato' Hj Mohd Shukor bin Sabudin. Turut serta di dalam SMS4 ini adalah Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan, Yang Arif Tuan Abu Zaky bin Mohamad dan Yang Arif Tuan Abdul Razak bin Mat Nayan, dan Ketua Pendaftar JKSNS, Puan Ruzita binti Ramli.

Pada kali ini, Tuan Khairil Hafiz bin Nazari telah dipilih sebagai Ketua Kontinjen. Manakala Encik Nur Ekhsan bin Abu Kassim sebagai Timbalan Ketua Kontinjen. Ketua Perbarisan pula diketuai oleh Tuan Mohd Adil bin Yahaya.

Majlis Perasmian telah diadakan pada 10 Ogos 2017, jam 8.00 malam di Padang Universiti Teknikal Malaysia, Melaka. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Utama Ir. Hj. Idris bin Hj. Haron, Ketua Menteri Melaka dan turut serta di dalam majlis tersebut adalah YB Senator Dato' Dr. Asyraf Wajdi Bin Dato' Dusuki (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri), YAA Tan Sri Dato' Setia Dr. Ibrahim bin Lembut (Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie JKSM) dan tetamu-tetamu kehormat yang lain.

Pada kali ini sebanyak 17 acara yang dipertandingkan iaitu Bola Sepak, Bola Baling, Bola Tampar, Bola Jaring, Badminton, Sepak Takraw, Ping Pong, Catur, Karom, Dart, Kayak, Paintball, Memanah, Golf, Petanque, Boling dan Menembak.

Dianggarkan hampir 1400 atlet telah menyertai SM4 pada kali ini yang melibatkan seluruh Mahkamah Syariah di Malaysia. Kontinjen Negeri Sembilan telah berjaya menduduki tempat ke-4 dari 15 kontinjen dengan memperoleh 4 Pingat Emas, 5 Pingat Perak dan 10 Pingat Gangsa. Pecahan Pingat adalah seperti berikut:


Disediakan oleh: Khairil Hafiz Nazari
Share:

Thursday, August 3, 2017

TAMBAH BAIK PERKHIDMATAN GRED 19 - CUEPACS


KUANTAN, 2 Ogos (Bernama) - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan menambahbaik skim perkhidmatan gred 19, melibatkan lebih 100,000 pembantu tadbir dalam sektor kerajaan termasuk badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Timbalan Presiden I Ceupacs Mohd Shaman Jaes berkata walaupun kakitangan gred 19 baharu menikmati kenaikan gred daripada gred 17 pada tahun lalu, namun kenaikan itu tidak banyak membantu terutamanya untuk mereka yang menetap di bandar besar.

"Penambahbaikan juga perlu dilakukan mengambil kira beban kerja mereka yang saban tahun makin bertambah. Peranan yang dimainkan pembantu tadbir dalam apa juga sektor adalah penting.

"Semakan ini boleh dilakukan kerana terdapat gred 20 dan 26 yang boleh dipertimbangkan. Jika mereka mempunyai diploma, berilah mengikut taraf diploma dan jika tiada, boleh membuat perkiraan menerusi pengalaman kerja," katanya.

Mohd Shaman berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Perwakilan Dwi-Tahunan Ke-13 Kesatuan Kebangsaan Pembantu Tadbir Kesihatan Semenanjung Malaysia (KEPTAKES) di Kuantan semalam.

Mohd Shaman berkata berdasarkan skim sekarang, kakitangan gred 19 memperoleh gaji termasuk elaun antara RM1,700 ke RM1,900, yang masih dianggap sukar untuk membantu mereka yang bekerja di bandar utama negara.

"Selain kos sara hidup yang semakin meningkat, wang itu juga perlu dibelanjakan untuk membayar hutang rumah, kenderaan, pendidikan jika ada dan juga hutang peribadi yang sudah pasti tidak mencukupi terutama kepada mereka yang berkeluarga," katanya.

Mohd Shaman menambah isu penambahbaikan gred 19 pernah disuarakan sebelum ini, dan berharap ia dapat dilaksanakan pada tahun ini bersama-sama dengan cadangan mewujudkan gred 28, yang telah lebih setahun dirancang.

Selain itu, Mohd Shaman juga memohon kerajaan mempertimbangkan cadangan supaya saguhati persaraan dibenarkan untuk dipindahkan ke Tabung Haji pada usia 40 tahun bagi membantu kakitangan kerajaan menunaikan haji.

"Bagaimanapun, wang itu hendaklah disyaratkan hanya boleh dikeluarkan bagi tujuan haji kerana kita tidak mahu ada yang menggunakan wang itu untuk tujuan lain," katanya.

Mohd Shaman menambah cadangan itu juga membolehkan kakitangan kerajaan menggunakan faedah cuti bergaji selama 40 hari bagi menunaikan haji yang diperuntukkan kepada mereka, selain berpeluang beribadat dalam usia muda.

Sumber berita: Bernama
Share:

Wednesday, August 2, 2017

WAWANCARA KHAS BERSAMA KETUA KONTINJEN NEGERI SEMBILAN


Sukan Mahkamah Syariah Seluruh Malaysia Kali Ke-4 (SMS4) akan membuka gelanggang pertarungan- nya pada 10 Ogos 2017 nanti di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Pada SMS3 dua tahun lalu, kontinjen Negeri Sembilan telah mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi dan tersenarai dalam top 5, dengan kutipan 2 emas, 2 perak dan 3 gangsa.

Apakah sasaran mereka pada SMS4 ini? Adakah mereka mampu memberikan saingan yang sengit kepada pasukan-pasukan negeri yang lain? Dan mampukah kita berada pada sekurang-kurangnya di tempat ke-3 teratas? Atau bagaimana?

Sudah tentulah persoalan-persoalan tersebut perlu diajukan kepada Ketua Kontinjen Negeri Sembilan atau Chief de-Mission (CDM) iaitu Tuan Khairil Hafiz bin Nazari. Beliau yang juga adalah Yang Di-Pertua KEJASA sudah dua kali berturut-turut dipilih sebagai CDM bermula pada SMS3 di Pulau Pinang 2015 yang lalu.

Ikuti wawancara Team KEJASA.org (Biro Multimedia & Komunikasi KEJASA) iaitu Puan Noor Hafizah binti Omar dan jurufoto Encik Mohd Fauzi bin Mohd Sabri bersama beliau di pejabatnya di Aras 1 Kompleks Kehakiman Syariah Negeri Sembilan di Bandar Sri Sendayan.

1. Pertama sekali belum terlewat rasanya untuk kami ucapkan tahniah kepada Tuan kerana telah dipilih sekali lagi sebagai CDM ini. Apakah perasaan Tuan saat dipilih sekali lagi sebagai CDM?
Terima kasih. Pertama sekali saya ingin ucapkan terima kasih di atas kepercayaan pengurusan tertinggi terutamanya daripada Yang Amat Arif Dato' Ketua Hakim Syarie Negeri Sembilan kepada saya. Apabila dipertanggungjawabkan sekali lagi untuk mengetuai kontinjen ini, tentunya timbul rasa beratnya amanah yang terpaksa dipikul. Bagaimanapun, mahu tak mahu saya menerimanya sebagai cabaran dan rasa kebertanggungjawaban terhadap jabatan ini.

2. Berapakah jumlah keseluruhan atlet yang dihantar? Dan apakah kita menyertai semua acara yang dipertandingkan? 
Jumlah keseluruhan adalah 86 atlet iaitu 54 lelaki dan 34 wanita. Kita sertai kesemua 17 acara yang dipertandingkan.

3. Berapakah jumlah pingat yang disediakan pada SMS kali ini?
Seperti yang dinyatakan oleh Yang Amat Arif Tan Sri Dato' Setia Dr. Ketua Hakim Syarie Malaysia / Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) di Utusan Malaysia, jumlah pingat untuk temasya kali ini adalah sebanyak 640 pingat iaitu 160 pingat emas, 160 pingat perak dan 320 pingat gangsa bakal menjadi rebutan peserta.

4. Apakah antara cabaran yang Tuan hadapi ketika mengetuai kontinjen negeri ini di temasya dwi-tahunan yang sama dua tahun lalu?
Antara cabaran ketara yang saya hadapi adalah dalam proses mencari pemain bagi setiap sukan yang dipertandingkan. Kita sedia maklum akan jumlah kakitangan jabatan ini tidaklah ramai sangat dan bukannya semua bersedia untuk menyertai sukan ini atas halangan yang tersendiri. Selain itu, penajaan pakaian dan juga peralatan turut menjadi cabaran yang perlu ditangani dengan baik.

5. Berdasarkan pengalaman yang lepas itu, apakah usaha yang telah diaturkan bagi meningkatkan prestasi kontinjen atau atlet kita?
Saya cuba sedaya upaya membina hubungan yang baik dengan atlet dan pengurusan tertinggi jabatan ini. Mewujudkan interaksi yang aktif bersama setiap pasukan. Ditambah pula pada kali ini kita menjalinkan kerjasama dengan Majlis Sukan Negara cawangan Negeri Sembilan. Alhamdulillah…kita telah diberikan kemudahan fasiliti latihan di Kompleks Sukan Tan Sri Hj. Said di Seremban 2. Turut ditawarkan adalah khidmat jurulatih bagi acara sukan tertentu. Manakala pengurusan tertinggi juga merestui pelepasan masa bekerja bagi atlet menyertai latihan pada waktu petang mengikut jadual yang telah diaturkan supaya tidak menganggu kerja-kerja hakiki.


6. SMS4 bakal berlangsung lebih kurang setengah bulan sahaja lagi. Jadi bagaimanakah Tuan melihat persiapan setiap pasukan? Dari segi latihan-latihan yang telah mereka lakukan….dan apakah Tuan berpuas hati? 
Saya lihat semua atlet telah mempamerkan komitmen yang tinggi. Ada pasukan yang sanggup membeli peralatan sukan sendiri, pakaian dan lain-lain bagi memastikan latihan dapat dilakukan segera. Latihan pada awalnya dimulakan atas inisiatif para atlet sendiri. Misalnya bola baling wanita yang mendapatkan jurulatih luar dan sanggup membayar sendiri bagi mendapatkan khidmat jurulatih terlatih. Saya amat terharu dan berbangga dengan mereka yang tidak berkira dalam hal ini dan semangat yang berkobar-kobar mereka untuk mendapatkan kejayaan. Bola baling adalah sukan yang baru dipertandingkan dan saya berharap dengan semangat dan pengorbanan mereka ini dapat membawa satu pingat kepada kontinjen kita. Begitu juga dengan pasukan-pasukan lain. Mereka nampaknya sanggup berkorban mengeluarkan bajet sendiri untuk latihan.

7. Pada dua edisi SMS yang lalu, Kontinjen Negeri Sembilan segak dengan pakaian sukan yang lengkap dan seragam. Manakala pada tahun ini khabarnya akibat kekangan kewangan dan tiada penajaan, ia tidak dapat disediakan oleh Kelab KEJASA. Bagaimanakah Tuan menghadapi atau mengatasi keluhan sesetengah atlet mengenai hal ini?
Keluhan seumpama ini tidak dapat dielakkan. Namun ia dapat diatasi dengan penjelasan kepada mereka. Yang paling utama para atlet sendiri telah memahami. Semangat atlet tidak luntur walau ada kekangan sebegini malah saya yakin mereka akan lebih semangat untuk memastikan bahawa tanpa bajet atau peruntukkan, mereka mampu membawa pulang pingat.

8. Mungkinkah hal ini juga akan memberi kesan kepada kesungguhan dan semangat mereka mungkin merudum? Apa pandangan Tuan? 
Setelah penjelasan tuntas diberikan, saya tidak fikir ia memberi kesan yang serius kepada semangat dan kesungguhan mereka. Tapi kita juga berusaha untuk memberikan t-shirt, topi dan baju korporat yang baharu.

9. Selain bola tampar, petanque, sepak raga, boling, karom dan dart yang dilihat cemerlang ataupun sekurang-kurangnya mampu menyumbangkan pingat pada beberapa edisi SMS lalu, apakah acara sukan lain yang dirasakan mampu membawa pulang pingat pada SMS4 nanti?
Ya selain acara-acara yang dinyatakan, saya juga optimis bola jaring, badminton, memanah dan boling juga akan memberi khabar gembira buat kita semua.

10. Perbarisan pembukaan juga nampaknya diberi perhatian pada kali ini. Berdasarkan pengalaman yang lalu, mungkin kita boleh belajar dari kesilapan lalu…iaitu kita dilihat melakukan gimik-gimik yang unik seperti berbasikal, membakar mercun dan bunga api. Tetapi itu semua sebenarnya tersasar daripada kehendak juri. Apakah usaha Tuan untuk memperbaiki mutu kawad kontinjen kita sekali gus menepati kehendak penjurian?
Saya berpandangan ia adalah salah satu acara yang disediakan oleh pihak penganjur. Saya tidak mahu ia menjadi beban kepada atlet. Namun begitu, kontinjen kita berjanji akan memberikan persembahan yang terbaik. Dan pada kali ini kita juga telah mendapatkan bantuan dari pihak tentera untuk melatih kawad kaki kepada atlet terpilih untuk perbarisan.

11. Setelah melihat kesungguhan setiap pasukan atau atlet berlatih secara konsisten sejak sebulan yang lalu, apakah perasaan Tuan dan berapakah kutipan pingat yang kita sasarkan?
Berdasarkan latihan dan pengalaman SMS lalu bolehlah saya simpulkan bahawa acara-acara yang kita kuasai seperti yang disebutkan tadi mampu meraih pingat sekali lagi. Selain itu kita juga berharap acara seperti boling, badminton, bola baling dan memanah juga turut dilihat berupaya memberikan hadiah buat kontinjen kita. Secara keseluruhannya kita mensasarkan 4 emas, 4 perak dan 3 gangsa. 

12. Akhir sekali, apakah harapan, nasihat dan seruan Tuan kepada semua atlet yang terlibat dalam SMS4 ini?
Saya amat berharap setiap atlet yang terpilih mewakili jabatan atau negeri ini ke temasya dwi-tahunan tersebut dapat menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi. Di samping itu, suka saya tekankan sekali lagi nasihat daripada Yang Amat Arif Dato’ Ketua Hakim Syarie Negeri Sembilan yang menekankan peri pentingnya kita menjaga disiplin. Disiplin masa...hadir ke venue acara tepat pada waktunya. Disiplin berada di tempat orang. Ikut peraturan yang ditetapkan oleh penganjur dan sebagainya.

Seperti taglinenya "Sukan Mengeratkan Silaturrahim"...biarlah objektif penganjuran temasya khusus untuk Jabatan Kehakiman / Mahkamah Syariah seluruh Malaysia ini dapat direalisasikan iaitu merapatkan ukhwah sesama kita. Saling berinteraksi dan berkenalan antara rakan-rakan sekerja dari negeri-negeri lain. Inilah kesempatannya apabila kita dapat berkumpul bersama.

Akhir sekali, setelah berusaha dan bertarung habis-habisan, saya menyeru setiap daripada kita akur dengan sebarang keputusan. Menang dan kalah itu adalah adat bertanding. Apa yang lebih penting adalah pamerkan semangat kesukanan yang tinggi dan tunjukkan tingkah laku yang baik kerana setiap daripada kita membawa imej jabatan atau negeri ini serta eratkan silaturrahim antara kita. Semoga kita berjaya menduduki sekurang-kurang tempat yang ke-3 teratas. In Shaa Allah.

RALAT: Perenggan pertama ayat kedua mukadimah posting ini ditulis, "...dan tersenarai dalam top 5, dengan kutipan..." Sebenarnya adalah top 7. Harap maklum. Maaf atas segala kesulitan.
Share:

JUMLAH PENGUNJUNG